LONDON – Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti menjelaskan, pasukan Honda tidak akan menikmati kejayaan manis dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) seperti hari ini jika tidak mempunyai pelumba berkualiti seperti Marc Marquez.
Marquez telah mendominasi perlumbaan MotoGP selepas diangkat menyertai kelas perdana itu pada musim 2013 dan pelumba Sepanyol yang terkenal dengan jolokan Baby Alien tersebut, telah merangkul lima gelaran dunia MotoGP sepanjang enam musim penyertaannya.
Pelumba berusia 26 tahun itu hanya terlepas satu gelaran pada musim 2015 selepas ia berjaya dirampas oleh Jorge Lorenzo yang ketika itu cemerlang bersama pasukan Yamaha.
“Saya hanya ingin mengatakan sesuatu berdasarkan fakta bahawa kemenangan serta gelaran juara dunia yang dimenangi Honda ketika ini adalah hasil kerja keras Marquez sejak penampilan sulungnya pada 2013 dalam kelas perdana MotoGP.
“Dengan rasa hormat, saya ingin katakan jika tiada Marquez, mereka (Honda) tidak akan mampu memenangi gelaran sebanyak ini meskipun mempunyai pelumba lain seperti Dani Pedrosa dan Cal Crutchlow.” kata Ciabatti.
Marquez terus mendominasi perlumbaan musim ini apabila melakar lima kemenangan daripada sembilan perlumbaan Grand Prix (GP), meskipun pelumba Honda itu mengakui masih bergelut untuk menawan jentera buatan Jepun tersebut.
Hanya Crutchlow yang mampu menaiki podium bersama Marquez sementara Jorge Lorenzo turut gagal untuk bersaing dalam kelompok 10 terbaik bersama jentera RC213. – Agensi











