KUALA LUMPUR – Persatuan Makanan Tambahan Malaysia (Madsa) mengunjurkan pertumbuhan positif bagi industri makanan tambahan atau suplemen pada tahun 2020 kepada RM2.41 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak tiga peratus.
Menurut laporan Industri Makanan Tambahan Malaysia 2019-2020 yang dikeluarkan persatuan tersebut, sektor berkenaan dianggarkan berkembang kepada RM2.34 bilion pada tahun ini berbanding RM2.27 bilion pada tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Holista Colltech Ltd., Datuk Rajen Manicka berkata, industri makanan tambahan sentiasa menunjukkan peningkatan setiap tahun walaupun dengan kadar perlahan, meskipun kedudukan ekonomi sekarang berada dalam keadaan tidak menentu.
Rajen merupakan salah seorang panel yang terlibat dalam menyiapkan laporan berkaitan Industri Makanan Tambahan Malaysia 2019-2020 oleh persatuan tersebut.
“Pelbagai faktor membawa kepada peningkatan penggunaan makanan tambahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan sebab utama yang mempengaruhinya ialah keberkesanan produk itu sendiri.
“Selain itu, kesedaran masyarakat masa kini sudah berada pada tahap yang tinggi. Mereka menyedari bahawa makanan yang diambil mereka setiap hari tidak mempunyai khasiat yang secukupnya untuk tubuh badan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum selepas pelancaran laporan tersebut di sini semalam.
Menurut laporan itu, vitamin merupakan penyumbang utama ke arah pertumbuhan industri makanan tambahan pada tahun lalu dengan jumlah RM514 juta bersamaan dengan 22.6 peratus.
Saluran pemasaran yang paling banyak membawa pulangan hasil pada 2018 pula adalah melalui jualan langsung dengan peratusan 55 peratus bersamaan RM1.2 bilion, diikuti jualan runcit (RM710 juta) dan dalam talian (RM316 juta).
Sementara itu, Presiden Madsa, Muthu Shanmughom berkata, pihaknya sangat optimis untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan dengan menyediakan produk yang sangat relevan dan selamat serta berkesan.
“Laporan ini akan bertindak sebagai panduan bagi pelabur dalam industri untuk melabur dalam kategori yang betul,” ujarnya.











