Daren tak terdaya kalahkan juara dunia - Utusan Malaysia

Daren tak terdaya kalahkan juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mata yang amat diperlukan oleh Liew Daren untuk mencari tiket kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 gagal diperoleh selepas perseorangan negara itu gagal menyaingi juara dunia, Kento Momota dalam aksi pembukaan keohanan badminton Terbuka Indonesia hari ini.

Daren, 32, yang baru kembali ke gelanggang selepas berehat panjang akibat kecederaan kaki memberi tentangan sengit pada set pertama sebelum akur dengan kekalahan 20-22, 14-21 di tangan pemain No. 1 dunia dari Jepun itu.

Kekalahan ini pasti menyulitkan usaha Daren untuk mengejar Lee Zii Jia yang kini berada di ‘baris depan’ untuk meraih tiket ke temasya Tokyo tahun depan dengan menghuni ranking ke-16. Daren pula berkedudukan ke-22.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, cabaran Malaysia pada hari pertama Terbuka Indonesia yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta berlangsung agak bercampur baur.

Sandaran yang diletakkan di bahu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Hoh Szei Fei-Nur Izzuddin Rumsani musnah.

Aaron-Wooi Yik gagal menyaingi juara dunia, Li Junhui-Liu Yuchen dari China apabila tumpas 21-19, 15-21, 9-21 manakala Sze Fei-Nur Izzuddin tewas dalam pertarungan sengit kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 19-21, 21-18, 19-21.

Beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen juga dipaksa mengharungi aksi mendebarkan sebelum mengetepikan pasangan India, Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki (Ind) 22-20, 20-22, 22-20.

Turut mengikuti langkah mereka ke pusingan kedua adalah Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menumpaskan beregu tuan rumah, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto 21-16, 21-16.

Dalam beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dipaksa bekerja keras untuk menumpaskan gandingan China, Lu Kai-Chen Lu 23-21, 21-13.

Esok, tujuh lagi wakil Malaysia akan turun dalam pusingan pertama diketuai Zii Jia dan dua pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Turut beraksi Soniia Cheah (perseorangan wanita), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen (beregu lelaki) dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (beregu campuran). – UTUSAN ONLINE

KEPUTUSAN

(Pemain Malaysia sahaja, pusingan pertama)

Perseorangan lelaki: Kento Momota (Jpn) kln LIEW DAREN 22-20, 21-14

Beregu lelaki: Li Junhui-Liu Yuchen (Chn) kln AARON CHIA-SOH WOOI YIK 19-21, 21-15, 21-9; Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (Ind) kln GOH SZE FEI-NUR IZZUDDIN RUMSANI 21-19, 18-21, 21-19

Beregu wanita: VIVIAN HOO-YAP CHENG WEN kln Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki (Ind) 22-20, 20-22, 22-20;

CHOW MEI KUAN-LEE MENG YEAN kln Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto (Ina) 21-16, 21-16

Beregu campuran: TAN KIAN MENG-LAI PEI JING kln Lu Kai-Chen Lu (Chn) 23-21, 21-13

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini