WASHINGTON 16 Julai – Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) melaungkan amaran akan kesiapsiagaan mereka mempertahankan negara ini dan asetnya termasuk kawasan Area 51, sebuah kem tentera rahsia di Nevada daripada diceroboh pihak luar.
Ini selepas lebih sejuta peminat teori konspirasi makhluk asing bersetuju menyertai acara yang dianjurkan dalam Facebook, ‘Storm Area 51, They Can’t Stop All of Us’ yang dijadual berlangsung pada 20 September ini.
Lapor Mail Online, penganjur acara mendakwa, mereka boleh bergerak lebih pantas daripada peluru tentera dan mahu melihat makhluk asing.
Bagaimanapun, hanya beberapa orang yang dipercayai serius untuk menyertai program itu dan tentera udara tetap mengeluarkan kenyataan tegas mengenai acara tersebut.
Jurucakap Tentera Udara, Laura McAndrews berkata, Area 51 merupakan kawasan latihan terbuka bagi tentera dan mereka diminta membatalkan niat memasukinya. – AGENSI











