BESUT – Seorang penduduk Pulau Perhentian ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah jenis pil kuda.
Suspek berusia 40 tahun tersebut ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pulau Perhentian di sebuah rumah di pulau peranginan terkenal tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, lelaki itu cuba melarikan diri daripada kepungan polis sewaktu rumahnya diserbu tetapi gagal.
“Pemeriksaan pada sebuah beg berwarna kelabu yang disandang suspek padacbahagian pinggang telah menemui sembilan tiub penyedut minuman yang mengandungi 90 pil berwarna merah disyaki pil kuda.
“Polis turut merampas merampas wang tunai RM250 milik suspek yang turut berada di dalam beg berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zamri berkata, ujian urin mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Menurut beliau, suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – K! ONLINE











