Tahanan Nigeria maut : Tiada kecederaan fizikal - Utusan Malaysia

Tahanan Nigeria maut : Tiada kecederaan fizikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai- Laporan bedah siasat terhadap lelaki warga Nigeria yang mati ketika dalam tahanan Jabatan Imigresen di Depot Bukit Jalil (DIBJ) pada 9 Julai lalu mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada tubuhnya.

Pengurusan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) dalam satu kenyataan hari ini, memberitahu proses bedah siasat dijalankan sepasukan pakar forensik hospital itu kira-kira pukul 9 pagi pada hari yang sama.

Ujarnya, pihak hospitak telah menerima panggilan daripada Pusat Panggilan Kecemasan pada pukul 12.08 tengah malam yang memaklumkan terdapat seorang tahanan yang berada di DIBJ mengalami sawan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berikutan itu, pasukan ambulans dari hospital ini bertolak pada pukul 12.10 tengah malam dan sampai ke DIBJ 20 minit kemudian.

“Setibanya pasukan ambulans di DIBJ, lelaki itu didapati dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, mayat mangsa kemudian dihantar ke HCTM oleh pihak polis untuk proses bedah siasat kira-kira pukul 5 pagi.

“Hasil bedah siasat oleh pasukan forensik HCTM mengesahkan tiada sebarang kecederaan fizikal pada badannya.

“Laporan penuh bedah siasat akan dikeluarkan apabila semua keputusan ujian makmal termasuk toksikologi diperoleh untuk memastikan sebab kematian,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan mengenai seorang lelaki warga Nigeria yang didakwa ditahan secara tidak sah, dilaporkan mati ketika dalam tahanan Imigresen akibat diserang sawan ketika tidur.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, menyatakan pihaknya masih menunggu laporan penuh kesihatan tahanan yang dikenali sebagai Thomas Orhions Ewansiha, 34, untuk mengetahui punca kematian.

Katanya, sepanjang dalam tahanan Imigresen, Orhions Ewansiha bersama tahanan lain dilayan dengan berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) menguruskan tahanan oleh semua Pegawai Imigresen bertugas di DIBJ.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini