Thailand, Malaysia buru ‘Raja Dadah’ - Utusan Malaysia

Thailand, Malaysia buru ‘Raja Dadah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 16 Julai – Thailand meminta bantuan polis Malaysia bagi mengesan dan menangkap seorang ahli politik dari selatan Thailand dipercayai raja dadah yang bertanggungjawab dalam cubaan menyeludup 459 kilogram dadah ‘ice’ (crystal methamphetamine) pada 7 Julai lalu.

Ahli Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Narathiwat berusia 58 tahun itu yang sedang diburu polis Thai dan masih bebas dipercayai dalang dalam membiayai kegiatan haram itu.

Ketua Polis Narkotik Wilayah Selatan, Mejar Jeneral Kitti Sapaothong berkata, waran tangkap telah dikeluarkan untuk ahli politik itu pada 12 Julai lalu selepas polis menahan empat lelaki di Bangkok dan Songkhla yang mendedahkan mereka dibayar untuk menghantar dadah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mempunyai bukti kukuh terhadapnya. Kami telah mencari di tujuh tempat di Narathiwat semalam tetapi gagal menemukan suspek. Bagaimanapun, kami akan menjejaki dan menahannya dan telah meminta bantuan polis Malaysia untuk menangkap suspek,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Pada 7 Julai lepas, polis Thailand menahan dua lelaki berusia 33 dan 32 tahun di Bangkok bersama 459 kilogram ‘ice’ dalam trak pikap mereka dan hari berikutnya, polis menahan dua lelaki berusia 57 dan 51 tahun di stesen minyak Songkhla, selatan Thailand.

Kitti berkata, dadah ‘ice’ itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran sebelum diagihkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa yang lain.

“Kami sedang mengesan jejak wang tersebut di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram, dan jika sabit kesalahan melibatkan penyeludupan dadah, aset ahli politik itu boleh dibekukan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, pihaknya telah berhubung dengan Polis Narkotik Wilayah Selatan Thailand berkenaan perkara itu.

“Mereka memaklumkan bahawa suspek yang merupakan ahli Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Narathiwat berkenaan berkemungkinan telah me­larikan diri ke Malaysia secara haram.

“Jadi mereka meminta bantuan kita untuk mengesan serta menahan suspek yang dikatakan dalang dalam membiayai kegiatan haram tersebut dan kita tiada masalah untuk membantu,” katanya ketika dihu­­bu­ngi Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini