Saman tertunggak warga Singapura paling banyak - Utusan Malaysia

Saman tertunggak warga Singapura paling banyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai – Sebanyak 244,611 saman tertunggak membabitkan warga asing direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, daripada jumlah itu, 4,110 merupakan saman yang telah dikenakan waran tangkap.

Menurutnya, berdasarkan jumlah saman tertunggak mengikut negara, warga Singapura mempunyai paling banyak saman tertunggak dan waran tangkap masing-masing 136,601 dan 2,131.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di tangga kedua terbanyak ialah warga Brunei dengan 40,101 saman tertunggak dan 65 waran tangkap, manakala Thailand mencatatkan jumlah saman tertunggak sebanyak 24,651 dan waran tangkap sebanyak 1,680,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Azisman memberitahu, berikutan itu pihaknya melancarkan Op Saman Tertunggak Warganegara Asing IX (OSTWA IX) bermula Jumaat lalu hingga 14 Julai ini yang membabitkan empat kawasan di tiga negeri bersempadan Thailand iaitu Perlis, Perak dan Kedah.

“Sebelum ini, operasi sama pernah dilaksanakan dua kali di Johor iaitu OSTWA I (27 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015) dan OSTWA II (13 hingga 15 Jun 2015) serta OSTWA III (15 hingga 17 Oktober 2015) di Miri dan Limbang, Sarawak.

“OSTWA IV (19 hingga 22 Mei 2016) di Perlis, Kedah dan Perak. Bagi tahun 2017 pula sebanyak empat kali OSTWA telah diadakan iaitu OSTWA V di Johor, OSTWA VI di Kelantan, OSTWA VII di Sipitang, Sabah, OSTWA VIII di Johor Bahru,” ujarnya.

Ujar Azisman, operasi itu diadakan bertujuan untuk mengurangkan saman tertunggak dan saman berstatus waran tangkap membabitkan warga asing.

“Sepanjang operasi OSTWA IX berlangsung, 3,460 kenderaan diperiksa dan RM291,190 kompaun berjaya dikutip,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini