KUALA TERENGGANU 16 Julai – Bekas Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) berusia 31 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan penipuan berkaitan tawaran pakej umrah pada tahun 2016.
Mohd. Adam Mohd. Ghazali, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.
Tertuduh yang berasal dari Besut itu menghadapi 26 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu antara Jun hingga Oktober 2016.
Mohd. Adam dituduh menipu lebih 20 orang mangsa di beberapa daerah di negeri ini membabitkan jumlah kerugian hampir RM200,000.
Untuk setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, M. Lishantini manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Hayyatuddin Mohamad dan Che Amir Che Musa.
Hakim Wan Azimah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan tiga orang penjamin.
Pada 11 Julai lalu, tertuduh ditangkap sepasukan polis di sebuah rumah di Damansara, Kuala Lumpur pukul 11 pagi setelah dipercayai menghilangkan diri hampir dua tahun.
Tiga tahun lalu, lebih 2,000 orang yang kebanyakannya golongan guru mendakwa menjadi mangsa penipuan menerusi tawaran pakej mengerjakan umrah oleh yayasan berkenaan yang melibatkan kerugian melebihi RM4 juta. – UTUSAN ONLINE











