Saman tertunggak warga asing cecah puluhan juta - Utusan Malaysia

Saman tertunggak warga asing cecah puluhan juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebanyak 240,501 saman dan 4,110 waran tangkap tertunggak telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun 2014 hingga 2018 lalu melibatkan pemandu warganegara asing di Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kesemua saman yang direkodkan itu melibatkan pelbagai jenis kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan pengguna jalan raya seperti memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

“Rekod menunjukkan pengguna jalan raya dari Singapura mencatatkan kutipan notis saman tertinggi sepanjang 2014 hingga 2018 lalu iaitu sebanyak 136,601 saman dengan 2,131 waran tangkap diikuti oleh Brunei iaitu sebanyak 40,101 saman dengan 65 waran tangkap tertunggak.

“Kesemua sama-saman tertunggak itu dianggarkan mampu mencecah kira-kira puluhan juta ringgit jika warga asing ini menyelesaikannya,” katanya pada satu sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Azisman, sehubungan itu pihaknya telah melakukan Op Saman Tertunggak Warga Asing Ke-9 (OSTWA IX) pada 12 hingga 14 Julai lalu di empat lokasi berbeza di utara tanah air dalam usaha memberikan kesedaran kepada pesalah trafik yang terdiri daripada warganegara asing supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan saman tertunggak.

“Operasi sebegini sudah beberapa kali dilakukan sebelum ini dan lokasi operasi ini dilakukan adalah di negeri-negeri yang bersebelahan dengan negara jiran di mana warga asing boleh membawa kenderaan mereka melepasi sempadan negara.

“Selain dijangka mampu memberikan impak positif terhadap pengguna kenderaan warganegara asing agar mematuhi undang-undang jalan raya, ia juga merupakan satu inisiatif bagi menghalang pesalah trafik warganegara asing daripada meninggalkan Malaysia tanpa menjelaskan saman tertunggak,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Azisman berkata, operasi kali ini dilakukan di beberapa lokasi seperti di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam, Kedah, Balai Polis Kota Putra, Durian Burung, Padang Terap, Kedah, CIQ Padang Besar, Perlis dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Pengkalan Hulu, Perak.

“Sejumlah 3,460 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dalam operasi sepanjang tiga hari itu dan sebanyak 1,649 saman telah diselesaikan melibatkan kutipan sebanyak RM291,190.

“JSPT berharap operasi sebegini dapat memberikan kesedaran kepada pesalah trafik warga asing supaya segera menyelesaikan saman tertunggak dan saman berstatus waran tangkap sekaligus tidak mengulangi kesalahan jalan raya semasa berkunjung ke negara ini,’ katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×