MELAKA – Keluarga kepada wanita yang maut kemalangan ketika menghantar jualan kuih-muihnya di Pekan Umbai, Jalan Melaka-Muar di Jasin semalam layak menerima faedah Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengarah Perkeso Melaka, Fadhilah Hamil berkata, berdasarkan semakan dibuat, mangsa, Sariani Mohd. Shariff, 44, didapati mempunyai cukup caruman untuk melayakkan warisnya menerima faedah itu meskipun kali terakhir caruman dibuat adalah pada tahun 2011.
“Selepas mendapat berita menyedihkan itu, Skuad Perihatin Perkeso telah membuat semakan dan ibu kepada enam anak itu didapati masih memenuhi syarat kelayakan di bawah Pencen Penakat.
“Jumlah faedah yang bakal diterima waris bergantung kepada caruman dan pendapatan terakhir diterimanya,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke rumah mangsa di Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam di sini hari ini.
Fadhilah menjelaskan, suami mangsa akan menerima faedah tersebut sehingga akhir hayatnya manakala enam anak mereka yang berusia antara enam hingga 20 tahun bakal mendapat manfaat sehingga usia mencecah 21 tahun atau sehingga tamat ijazah pertama.
Pada kunjungan tersebut, Perkeso turut mengumumkan keluarga berkenaan layak menerima faedah pengebumian jenazah sebanyak RM2,000.
Sementara itu, suami mangsa, Roszainizam Sarin, 49, berkata, dia tidak menyangka arwah isterinya yang pernah bekerja di sebuah kilang masih layak menerima faedah berkenaan selepas sekian lama berhenti dan tidak membuat caruman.
“Saya tidak pernah terfikir pun akan memperolehi faedah ini, namun sangat bersyukur dan berharap apa yang diperolehi hanyalah untuk keperluan pelajaran anak-anak,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan perjalanan seorang ibu enam anak menghantar jualan kuih-muih yang dibuatnya bagi membantu pendapatan suami berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 5 Pekan Umbai, Jalan Melaka-Muar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, Sariani maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Menurut polis, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan di lokasi berkenaan sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan dari arah Muar ke Melaka yang masih belum dikenal pasti. – K! ONLINE
View this post on InstagramA post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online) on











