BERSANGKA baik merupakan sifat yang dituntut dalam Islam kerana ia dapat mengelakkan diri daripada menuduh orang lain melakukan kejahatan atau keburukan di samping menghindarkan daripada fitnah.

Berbaik sangka mempunyai banyak kelebihan tersendiri iaitu antaranya, supaya hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih akrab. Apabila hati bebas daripada sangkaan buruk, maka dalam hati hanya sangkaan yang baik-baik sahaja.
Mereka yang sentiasa menyuburkan sifat bersangka baik akan terhindar penyesalan dalam hubungan sesama manusia. Malah, hatinya akan selalu berbahagia dan bersyukur atas segala yang dikurniakan oleh Allah SWT walaupun kepada orang lain.
Menjalinkan hubungan baik antara satu dengan yang lainnya khususnya sesama Muslim merupakan amalan yang harus dilakukan dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa setiap Mukmin itu bersaudara seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”(al-Hujuraat: 10)
Oleh itu, segala sifat yang dapat memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus dipupuk serta dipelihara. Tetapi, apa sahaja yang merosakkan ukhuwah harus dihilangkan.
SUMBER FB Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)











