Tiket final Piala FA mula dijual 23 Julai - Utusan Malaysia

Tiket final Piala FA mula dijual 23 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 16 Julai – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menafikan sudah mula menjual tiket perlawanan akhir final Piala FA di antara Perak dan Kedah yang akan berlangsung pada 27 Julai ini.

Setiausaha Kehormat Pafa, Tajul Hasnan Omar berkata, sebaliknya tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir hanya akan dijual pada 23 Julai ini.

Katanya, ini bermakna setakat ini tidak ada sesiapa pun yang mempunyai tiket perlawanan akhir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika ada yang mendakwa sudah mempunyai tiket ia adalah palsu dan cuba ambil kesempatan, jadi penyokong perlu berhati-hati.

“Pafa tidak bertanggungjawab sekiranya ada penyokong yang membeli tiket palsu dan kita nasihatkan mereka agar beli pada saluran yang sah.

“Mustahil jika ada pihak yang mendakwa sudah mempunyai 500 tiket ketika ini,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan terdapat individu yang sudah mempunyai tiket seperti yang tular dalam media sosial.

Menurutnya, sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan untuk penyokong Perak dengan 15,000 tiket akan dijual di Stadium Perak di sini.

Beliau berkata, sebanyak 12,000 tiket akan diagihkan di seluruh daerah dan baki 3,000 tiket akan dijual kepada penaja serta jabatan kerajaan yang berkaitan.

Katanya, tiket akan mulai dijual pada 23 Julai ini bermula pukul 10.30 pagi hingga 3.30 petang di kaunter tiket Stadium Perak.

“Tiket juga boleh dibeli di Stadium Mini Parit Buntar, Pejabat Kemas Kampung Gajah dan kaunter pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan.

“Selain itu di Pejabat Daerah dan Tanah Tanjung Malim, PDT Lenggong, manakala untuk Kuala Kangsar di Dewan Jubilee Perak dan daerah Manjung di Stadium Mini Manjung.

“Masa jualan tiket di daerah sama seperti di Stadium Perak dan lokasi ini telah dipersetujui oleh persatuan bola sepak daerah masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini