SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun yang ditahan polis kerana disyaki melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sini dijangka dituduh di mahkamah dalam tempoh terdekat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan berkata, kertas siasatan kes itu sudah hampir siap sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan seterusnya.
“Suspek yang telah ditahan reman selama enam hari sehingga semalam disambung reman sehingga 22 Julai ini. Kertas siasatan kes itu sebenarnya sudah boleh dianggap siap cuma ada beberapa kajian lagi perlu dilakukan dalam beberapa sudut.
“Pihak polis mahu mendapatkan satu siasatan dan keputusan yang tepat dalam kes tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan selepas ibu mangsa berusia 49 tahun membuat laporan polis susulan rakaman video perbuatan tidak senonoh lelaki tersebut tersebar di media sosial.
Lelaki itu ditahan polis semasa dia dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis untuk menghantar barang dengan menggunakan sebuah lori pada 9 Julai lalu.
Rakaman video dipercayai lelaki itu melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada bulan lalu tersebar di media sosial minggu lalu dan menimbulkan kemarahan orang ramai. – K! ONLINE











