LONDON – Pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic tampil cemerlang apabila menjulang gelaran kelima Wimbledon selepas berjaya menundukkan Roger Federer pada aksi final paling lama kejohanan tersebut awal pagi semalam.
Djokovic berjaya mempertahankan gelaran yang diraihnya tahun lalu selepas bertahan selama empat jam 57 minit menyekat kemaraan Federer sebelum merakam kemenangan 7-6(7-5), 1-6, 7-6(7-4), 4-6, 13-12(7-3).
Pemain dari Serbia mengakui kejayaan mengalahkan Federer di pentas final melibatkan ketahanan mental paling sukar yang pernah dialaminya selepas turut menerima tekanan daripada 14,000 penyokong Federer yang memberi sokongan padu di gelanggang rumput tersebut.
“Apabila penonton melaungkan nama Roger (Federer). saya mendengar Novak (Djokovic). Ia kemungkinan perlawanan yang paling mencabar mental.
“Saya pernah menghadapi tekanan fizikal yang paling tinggi ketika bertemu dengan Rafael Nadal di final Terbuka Australia yang berlangsung hampir enam jam (pada tahun 2012).
“Saya amat seronok dan gembira dengan emosi di sini di hadapan anda sebagai juara tetapi saya nyaris kalah. Saya hanya cuba untuk tidak mahu kehilangan keyakinan diri, kekal tenang, fokus untuk mengembalikan bola tenis.
“Tetapi, momen yang paling penting adalah ketiga-tiga tiebreak, jika saya boleh katakan ialah aksi terbaik saya,” kata Djokovic.
Ini menjadi gelaran Wimbledon kelima buat Djokovic dan ke-16 di saingan Grand Slam, namun masih ketinggalan apabila Nadal kini mengumpul 18 gelaran dan Federer (20). – Agensi









