SEREMBAN 15 Julai – Kanak-kanak berusia lima tahun, Muhammad Fawwaz Adli Mohd. Bukhari yang parah akibat dihempap peti sejuk di rumahnya Jumaat lalu beransur pulih selepas dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.
Bapanya, Mohd. Bukhari Zainal Annuar, 33, berkata, anak sulungnya itu telah mula menggerak-gerakkan tangan petang tadi selepas doktor menghentikan pemberian ubat tidur sejak pukul 10 pagi.

“Tangannya sudah mula bergerak cuma mata belum buka lagi. Doktor kata tempurung kepala retak, tetapi tidak terlalu serius dan tidak perlukan pembedahan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam, Jumaat lalu, Muhammad Fawwaz Adli cedera parah di bahagian kepala selepas dihempap peti sejuk setinggi kira-kira 1.8 meter di rumahnya di Taman Cempaka, Nilai di sini.
Kejadian itu disedari oleh ibu kanak-kanak terbabit yang mendapati anaknya terbaring selepas dihempap peti sejuk yang diletakkan di ruang tamu rumah itu. -UTUSAN ONLINE











