SEREMBAN – Kanak-kanak berusia lima tahun, Muhammad Fawwaz Adli Mohd. Bukhari yang parah akibat ditimpa peti sejuk di rumahnya Jumaat lalu beransur pulih selepas menjalani pembedahan membuang air dalam otak di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini semalam.
Bapanya, Mohd. Bukhari Zainal Annuar, 33, berkata, tangan anak sulungnya itu telah mula bergerak petang tadi selepas doktor menghentikan pemberian ubat tidur terhadap kanak-kanak itu sejak pukul 10 pagi ini.
“Tangan sudah mula bergerak cuma mata belum buka lagi. Doktor kata tempurung kepala retak, tetapi tidak terlalu serius dan tidak perlukan pembedahan.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan Muhammad Fawwaz Adli,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Muhammad Fawwaz Adli mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selepas ditimpa peti sejuk setinggi kira-kira 1.8 meter di rumahnya di Taman Cempaka, Nilai pada 12 Julai lalu.
Peti sejuk untuk kegunaan perniagaan itu dibeli oleh bapanya lapan bulan lalu dan ditempatkan sementara di ruang tamu rumah berkenaan.
Kejadian itu disedari oleh ibunya berusia 30 tahun selepas mendengar bunyi dentuman di belakangnya semasa dia sedang menonton televisyen di ruang tamu tersebut. – K! ONLINE











