Platform runcit e-dagang emas fizikal pertama Malaysia - Utusan Malaysia

Platform runcit e-dagang emas fizikal pertama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Julai – Satu platform runcit emas fizikal mudah alih yang bersifat telus, selamat dan lebih mudah kepada pengguna buat julung kalinya diperkenalkan di Malaysia.

Platform tersebut diwujudkan hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) antara MNC Wireless Bhd (MNC) dengan Urban Setup Sdn Bhd (URBAN), di sini hari ini.

Pengarah Eksekutif MNC, Christopher Tan Chor How berkata, platform yang bakal dilancarkan pada akhir 2019 itu dilesenkan SGPMX (M) Sdn Bhd (SGPMX) ke syarikat URBAN yang membolehkan pengguna membeli emas fizikal melalui aplikasi mudah alih dengan nilai pecahan minimum RM0.01.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Platform kami ini akan diakses orang ramai bagi tujuan pembelian emas termasuk para pelabur yang ingin membeli, menjual atau menebus serta menghantar ke lokasi yang dikehendaki. Lebih menyakinkan, platform ini bebas daripada unsur gandaan harga secara sewenang-wenangnya.

“Saiz industri dagangan emas Malaysia adalah RM10.7 bilion pada 2017, RM12.4 pada 2018 dan dijangka meningkat RM15.8 bilion pada 2019. Pertumbuhan ini sangat menggalakkan dan akan memberi permintaan kukuh kepada platform e-dagang emas kami,” katanya pada majlis pemeteraian MoU tersebut di sini hari ini.

MoU tersebut turut disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof serta Pengarah SGPMX, Datuk Yusli Mohamed Yusoff.

Jelas Tan lagi, pihaknya percaya dengan harga yang murah dan kompetitif yang ditawarkan dapat memberi manfaat kepada pengguna melalui fakta sahih seperti harga pembelian emas yang seiring dengan harga langsung emas-emas antarabangsa.

“Pengguna tidak perlu bimbang tentang fakta palsu kerana platform yang kami sediakan ini hanya menerima bulion secara langsung daripada pembiaya emas yang ditubuhkan di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan URBAN, Datuk Azrulnizam percaya, penggabungan MNC dan SGPMX menerusi prospek e-dagang emas fizikal melalui platform teknologi dapat menggalakkan perkembangan ekonomi positif.

“Kami mahu menggalakkan rakyat mengumpul kekayaan dengan keseimbangan kewangan. Jadi, platform runcit emas fizikal kami ini akan menjadikannya realiti,” ujarnya.

Ditanya kenapa platform tersebut tidak dilancar dalam masa terdekat, Asrulnizam memberitahu, masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan yang berkait dengan pembikinan platform tersebut.

“Kami masih memerlukan masa sehingga hujung tahun ini kerana masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan untuk mengintegrasikan pembangunan platform kami ini,” jelasnya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini