MUNAFIK bukan lagi sesuatu perkataan yang asing dalam kalangan masyarakat hari ini. Malah, ada yang sewenang-wenangnya melabel seseorang yang lain sebagai munafik jika berlakunya perbalahan.
Namun, tahukah kita makna sebenar di sebalik perkataan munafik dan yakinkah kita tidak ada satu pun ciri-ciri munafik dalam diri sendiri sehingga berani menuduh orang lain pula sebagai munafik?

Antara satu daripada cara paling mudah mengenal tanda-tanda diri mempunyai sifat munafik ialah berat menerima nasihat yang juga menjadi petanda kepada kejahilan diri. Semakin jahil seseorang semakin dia berasa tidak memerlukan nasihat.
Lebih jahil daripada itu ialah orang yang cenderung mentafsir nasihat diberi sebagai celaan. Apabila mendengar nasihat, orang ini akan berasa sedang dihina, maka dia bukan hanya enggan menerima nasihat itu, malah sengaja melakukan sesuatu bertentangan dengannya hanya untuk menyakitkan hati pemberi nasihat.
Ada pula orang yang terlalu keras hatinya sehingga apabila mendengar nasihat, malah dia kembali menasihati. Lebih menyedihkan, ada juga yang menyerang orang yang menasihatinya dengan makian atau pukulan.
Sikap sedemikian tidak lain adalah tanda kesombongan dan satu daripada sifat munafik. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “….kesombongan ialah menolak kebenaran dan memandang hina orang lain.” – Riwayat Muslim
SUMBER Buku Dalam Hati Ada Syurga











