Bina Puri dapat kontrak RM303j di Iraq - Utusan Malaysia

Bina Puri dapat kontrak RM303j di Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Julai – Anak syarikat milik penuh Bina Puri Holdings Berhad, Bina Puri Sdn. Bhd. memperoleh projek pembinaan jalan raya di Iraq pada Jun lalu dengan nilai kontrak kira-kira RM303 juta.

Sehubungan itu, jumlah projek pembinaan bagi kumpulan meningkat kepada RM1.56 bilion susulan penganugerahan kontrak baharu berkenaan.

Bina Puri dalam kenyataannya berkata, pembinaan melibatkan jalan dua lorong bermula dari persimpangan Al-Islah hingga ke persimpangan Al-Jabayish di Kota Nasirya dalam Wilayah Thi-Qar, Selatan Iraq.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kontrak tersebut dianugerahkan oleh kerajaan Thi Qar meliputi kerja-kerja pembinaan 74.5 kilometer (km) jalan dua lorong dengan tujuh jambatan berukuran 14 hingga 87 meter panjang setiap satu berserta kemudahan dan lampu jalan.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka disiapkan dalam tempoh 36 bulan bermula dari tarikh pemilikan tapak.

“Wilayah Thi Qar mempunyai jaringan jalan raya serta jalan kereta api yang baik bagi menghubungkan semua wilayah-wilayah yang terdapat dalam Iraq,” katanya di sini hari ini.

Tambah syarikat itu, Bina Puri merupakan antara syarikat pembinaan yang terawal meneroka pasaran luar negara sejak 1995 dan berjaya menyiapkan beberapa buah projek pembinaan di luar negara termasuk tiga lebuh raya di India iaitu lebuh raya Vijayawada–Eluru, Tada–Nellore di Andhra Pradesh dan Lebuhray Chittorgarh–Mangalwar di Rajasthan.

Menurutnya lagi, Bina Puri turut membina sebuah hotel lima bintang di Kathmandu, Nepal; bangunan dan kediaman kedutaan Malaysia di Beijing, China dan jalan susur Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand.

“Syarikat juga telah menyiapkan lebih 30,000 rumah mampu milik dan kondominium di Thailand; dua blok kondominium 45 tingkat di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu; 174 Vila untuk perumahan pihak berkuasa pertahanan di Lahore, Pakistan dan lebih 3,000 rumah bagi Skim Perumahan Negara Brunei untuk Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei.

“Kami kini sedang menyiapkan pembinaan kompleks kedutaan Malaysia di Moscow, Rusia. Kumpulan Bina Puri akan terus aktif dalam aktiviti bidaan sama ada bagi projek dalam negeri atau luar negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini