KUALA LUMPUR 15 Julai – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan merampas syabu bernilai lebih RM1 juta menerusi serbuan di pondok pengawal sebuah residensi, Off Lebuh Raya Sungai Besi, Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 4.50 petang selepas mendapat maklumat dan menjalankan risikan.
“Hasil soal siasat, suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah unit residensi terbabit dan menemukan syabu seberat 23.5 kilogram bernilai RM1.17 juta, sepucuk pistol dan 28 butir peluru.
“Kita dapati jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 47,000 pengguna dan suspek telah bergiat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak tujuh bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mazlan, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis syabu.
“Suspek kini ditahan reman sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











