KUALA LUMPUR 15 Julai – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki merogol seorang gadis berusia 13 tahun selepas laporan polis dibuat oleh keluarganya, Rabu lalu.
Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata suspek berusia 22 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar itu ditahan di rumahnya di Jalan Salim, Sibu, Sarawak kelmarin.
Menurutnya, penahanan itu susulan laporan polis dibuat ibu mangsa yang mendakwa anak perempuannya yang masih belajar di tingkatan satu sebuah sekolah menengah dicabul oleh lelaki yang tidak dikenali.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut dan ibu mangsa dimaklumkan bahawa hasil pemeriksaan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.
“Pengadu telah bertanya kepada mangsa yang kemudian mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan suspek pada Disember tahun lalu,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
Stanley memaklumkan, mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mula mengenali suspek pada November 2018 melalui WhatsApp dan bercinta dengan suspek.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah melakukan hubungan seks pada Disember tahun lalu iaitu pada hari kejadian ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kes mangsa hilang ke rumah suspek di Salim, Sibu.
“Mangsa masih berada di Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya.
Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE











