KUALA LUMPUR 14 Julai – Ahli UMNO diseru supaya mendukung kerjasama antara UMNO dan Pas bagi mengukuhkan kedudukan parti dan kekuatan sebenar bangsa Melayu.
Demikian kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor 2019 hari ini.
Menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Instagramnya, beliau memberitahu bahawa kerjasama antara UMNO dengan Pas bukan perkara ‘biasa-biasa’.
“Semasa berucap sempena mesyuarat Perwakilan UMNO Kuala Selangor, saya mengajak semua ahli UMNO supaya mendukung kerjasama UMNO-Pas.
“Ini bukan kerjasama biasa-biasa hanya untuk melempiaskan nafsu kuasa. Tetapi ini adalah kerjasama untuk kukuhkan parti dan bangsa Melayu.
“Saya percaya dan yakin, ikhtiar menyatukan bangsa sentiasa betul dan perlu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











