Sembunyi di belebas tingkap tingkat 6 elak ditahan - Utusan Malaysia

Sembunyi di belebas tingkap tingkat 6 elak ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Julai – Keadaan di Jalan Pasar Baharu, Pudu di sini bertukar kecoh apabila sekumpulan wanita berpakaian seksi kelihatan bersidai di belebas besi sebuah hotel di situ bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Jabatan Imigresen) hari ini.

Orang ramai yang berada di sekitar hotel berkenaan terkejut dengan tindakan kira-kira 30 wanita tersebut yang melompat keluar tingkap, berlari anak dan kemudian duduk mencangkung di belabas itu pada ketinggian enam tingkat berkenaan.

Difahamkan, dalam operasi bermula pukul 3 petang itu, terdapat segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita yang sanggup menggadaikan nyawa mereka mengambil risiko bersembunyi di belebas yang menjadi struktur di beberapa tingkap hotel berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, ada juga sebilangan PATI yang bertempiaran lari sehingga sanggup melintasi jalan yang sedang sibuk di sekitar Pudu bagi mengelak dari ditahan.

Situasi yang genting itu memaksa pihak Jabatan Imigresen memanggil pasukan bomba berdekatan untuk membantu menyelamatkan keadaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya terpaksa menggunakan anggota bomba untuk memujuk PATI yang bersembunyi di belebas bangunan hotel dan hanya sebahagian daripada mereka berjaya dipujuk.

Menurutnya, operasi yang disertai kira-kira 175 pegawai dan anggota telah dilakukan di dua buah lokasi secara serentak di Jalan Silang dan sebuah hotel dekat Pasar Pudu.

“Menerusi operasi di Jalan Silang, seramai 1,709 individu berusia dalam lingkungan 21 hingga 45 tahun telah diperiksa dan setakat ini seramai 247 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Sementara itu, serbuan di sebuah hotel di Jalan Pudu berjaya menahan 300 wanita warga asing yang disyaki melakukan perkara-perkara yang menyalahi moral dan pelbagai kesalahan lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai operasi.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee memberitahu, setakat pukul 6 petang, proses dokumentasi masih dijalankan kerana tangkapan yang dilakukan membabitkan jumlah yang besar.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa, tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan menyalahgunakan pas lawatan.

“Kita akan mempergiatkan operas ini pada masa hadapan bagi membanteras kebanjiran PATI di sekitar ibu negara,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini