JAKARTA 14 Julai – Teka-teki hala tuju politik pasangan calon Presiden Indonesia nombor dua, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno selepas pilihan raya Presiden 2019 (Pilpres) sedikit demi sedikit semakin terdedah.
Detik News melaporkan, Prabowo memberikan isyarat menunjukkan beliau bersedia untuk membantu pentadbiran kerajaan pimpinan Joko Widodo (Jokowi) manakala Sandiaga pula menegaskan bahawa beliau tetap akan menjadi pembangkang.
Prabowo menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan ketika mengadakan pertemuan dengan Jokowi semalam.

“Menjadi Presiden itu bukanlah satu tugas yang mudah kerana Jokowi perlu memikul pelbagai masalah besar, namun kami sentiasa bersedia untuk membantu jika diperlukan, terutamanya dalam menjaga kepentingan rakyat serta negara ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pertubuhan Persaudaraan Alumni (PA) 212 mengesahkan bahawa mereka sudah tidak lagi bersama Prabowo dan akan meneruskan perjuangan tanpa pemimpin itu selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Jokowi.
Jurucakapnya, Novel Bamukmin berkata, Prabowo sudah membuat keputusan untuk menamatkan sengketa dengan Jokowi, maka PA 212 juga perlu membawa haluan sendiri.

Sementara itu, langkah sama turut dilakukan oleh Gerakan Nasional Pengawal Fatwa (GNPF) yang mendakwa pihaknya sudah tidak berada dalam barisan penyokong Prabowo.
Ketuanya, Yusuf Muhammad Martak berkata, langkah itu seiring dengan berakhirnya Pilpres 2019.
“Pilpres sudah selesai, maka peranan kami juga sudah selesai,” ujarnya. – AGENSI











