Pengajaran politik melalui Africa's Deadliest - Utusan Malaysia

Pengajaran politik melalui Africa’s Deadliest

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK adalah seni dan banyak tipu daya. Politik juga melibatkan soal pengorbanan, terkorban atau dikorbankan. Penulis sering menonton rancangan National Geographic berjudul Africa’s Deadliest yang memaparkan kehidupan haiwan liar di Afrika. Kalau mahu dilihat dari sudut politik, ‘banyak mesej’ daripada kehidupan haiwan berkenaan. Berikut penulis paparkan beberapa pengajaran:

Harimau bintang dan bangkai rusa

Seekor harimau bintang menyembunyikan bangkai seekor rusa yang dibahamnya. Untuk mengelakkan hasil susah payahnya mendapatkan makanan tidak dimakan binatang lain, haiwan itu menyembunyikan bangkai tersebut di atas pokok. Bagaimanapun gelagat tersebut diperhatikan oleh ‘kawannya’ (juga harimau bintang). Apabila harimau bintang itu beredar, ‘kawannya’ memanjat pokok dan menikmati ‘hidangan’ tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…
LAMAN Twitter Nature Is Scary memaparkan pergaduhan ular tedung dan ular sawa di sebatang sungai yan
LAMAN Twitter Nature Is Scary memaparkan pergaduhan ular tedung dan ular sawa di sebatang sungai yang kering hingga menyebabkan kematian kedua-duanya – GAMBAR MEDIA SOSIAL

Dalam politik ramai bersikap macam ini, dalam bahasa mudah ‘kawan makan kawan’, ‘lembu punya susu sapi dapat nama’. Orang lain bekerja bermatian-matian sehingga parti menang, akhirnya akan muncul individu yang mendabik dada menyatakan semua kejayaan tersebut adalah hasil usaha dan pengaruhnya.

Singa ditanduk seladang, kuda belang dibaham buaya

Sekumpulan singa sedang berehat, tiba-tiba muncul sekumpulan seladang. Mungkin melihat seladang yang banyak, singa-singa tersebut hanya memerhati, bagaimanapun salah seekor singa mengejar sendirian seladang itu, namun seladang yang diterkamnya kembali menyerang. Serangan itu dilakukan secara berkumpulan sehingga menyebabkan singa tersebut maut ditanduk.

Dalam satu lagi episod, kuda belang menyeberangi sungai yang penuh buaya secara berkumpulan. Apabila kuda belang berbuat demikian ia menyukarkan buaya membaham kerana kuda terlalu banyak. Bagaimanapun peluang terhidang juga apabila salah seekor kuda belang tertinggal di belakang, haiwan itu akhirnya menjadi ‘santapan’ sang buaya.

Begitulah juga akibat yang akan ditanggung oleh mana-mana individu dalam parti. Kalau berani tidak bertempat dan mahu tunjuk pandai, terimalah nasib seperti mana singa yang mati ditanduk tersebut.

Pengajaran daripada episod kuda belang pula ialah dalam keadaan apapun terutamanya menghadapi saat-saat getir, janganlah sesekali meninggalkan jemaah. Tidak kiralah apapun perbezaan pendapat, seseorang itu mesti kekal dalam ‘pasukan’ dan bergerak bersama. Sikap tersebut akan memberi kebaikan kepada parti dan diri sendiri, tetapi kalau sudah meninggalkan jemaah, kita pasti akan lemah dan memakan diri.

Zirafah tumbang 
diterkam singa

Seekor zirafah melintasi sekumpulan singa betina. Mungkin merasakan diri tinggi dan memiliki kaki panjang, zirafah tidak menghiraukan bahaya menanti. Zirafah tersebut menendang mana-mana singa yang menghampirinya, bagaimanapun haiwan itu tidak mampu bertahan apabila seekor singa jantan datang membantu.

Singa berkenaan menerkam beberapa kali dari arah belakang menyebabkan zirafah cedera. Apabila zirafah terumbang-ambing dan tidak mampu berdiri dengan betul, singa-singa lain terus menerkam. Riwayat zirafah yang dianggap haiwan tertinggi dunia pun berakhir.

Dalam politik, janganlah berasa kita hebat hanya disebabkan kedudukan dan kuasa. Mungkin semasa berkuasa kita boleh menggunakannya untuk menyelamatkan diri tetapi perlu diingat, satu hari ‘buku akan bertemu ruas’, maka tergoleklah ahli politik tersebut seperti mana nasib zirafah.

Pergaduhan 
dua ekor burung

Dua ekor burung dari spesis sama bergaduh, tiba-tiba seekor helang menyambar salah seekor daripadanya dan mencengkam ke tanah. Seekor lagi burung cuba menyerang helang berkenaan, mungkin berhasrat menyelamatkan ‘kawannya’, tetapi sudah terlambat, cengkaman helang terlalu kuat dan lebih malang burung itu turut diserang, akhirnya kedua-dua ekor burung mati.

Itulah akibatnya jika dalam politik, ada kelompok atau individu daripada parti yang sama asyik leka jatuh menjatuhkan antara satu sama lain, ia membuka ruang kepada ‘musuh politik’ untuk mengambil kesempatan seperti burung helang. Hasilnya, ahli politik yang bergaduh sesama sendiri berada di kedudukan pepatah ‘antan dengan antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang’.

pertembungan ular sawa dan ular tedung

Dalam laman sosial Twitter, Nature Is Scary sekeping gambar memaparkan bangkai ular tedung dan ular sawa. Kalau melihat kepada situasi, ia dirakamkan di sebatang sungai yang kering. Kedua-dua ekor ular ini mungkin bertembung dan berlaku pergaduhan.

Masing-masing mempunyai kekuatan sendiri, ular tedung dengan bisanya manakala ular sawa pula dengan belitan. Pergaduhan itu berakhir dengan kedua-dua haiwan itu mati. Ular tedung mati akibat dibelit ular sawa manakala ular sawa pula mati dipatuk ular tedung. Sepatutnya daripada spesis sama, kedua-dua ular itu tidak sepatutnya ‘berperang’.

Begitulah juga politik, pertembungan sesama sendiri dalam parti tidak akan mendatangkan faedah. Ia hanya meletakkan parti dalam bahaya. Apabila pertembungan sesama sendiri sudah tidak terkawal maka tercetuslah politik ‘kalau aku tak dapat, kau pun tak dapat’. Keadaan ini kerap berlaku apabila ada pemilihan dalam parti, akhirnya parti menjadi lemah dan bila pilihan raya berlangsung, kecundanglah jawabnya.

Kesimpulannya, banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada program televisyen seumpama itu waima berkaitan binatang sekalipun, kalau kita mahu memikirkannya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini