KUALA LUMPUR – Keputusan laporan bedah siasat membabitkan seorang tahanan lelaki warga Nigeria yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia dijangka diperolehi esok atau lusa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, laporan daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) itu akan memberi penjelasan mengenai punca utama kematian lelaki itu, Thomas Orhions Ewansiha.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati warga Nigeria itu meninggal dunia bukan disebabkan dipukul atau kekerasan fizikal.
“Imigresen juga sudah mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Nigeria termasuk 22 wakil kedutaan negara lain pada jumaat lalu bagi menerangkan mengenai kejadian yang berlaku baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Imigresen di Jalan Silang di sini hari ini.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan, warga Nigeria terbabit meninggal dunia akibat diserang sawan ketika sedang tidur di depoh Imigresen Bukit Jalil. – K! ONLINE











