Cita rasa unik arkitek muda ini bukan sahaja mencetuskan kelainan, malah memberikan kepuasan kepada sesiapa sahaja yang melihat hasil kerjanya.
Dewi Siti Solehah Radin Roslan, 24, atau lebih dikenali sebagai Dewi baru sahaja menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dari Universiti Taylor. Dia boleh dianggap bertuah kerana dianugerahkan seraut wajah yang cantik dan pintar sehingga berjaya membentuk prospek arkitek yang mengujakan.

Gadis berasal dari Shah Alam, Selangor ini menggunakan bakat melukis yang dimilikinya untuk menceburkan diri dalam bidang reka bentuk dalaman yang melibatkan susun atur dan reka bentuk bangunan.
Menurutnya, cita-cita untuk bergelar seorang arkitek berjaya tertanam dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi kerana rasa cinta yang amat mendalam terhadap bidang seni reka.
“Sejak kecil lagi, saya suka melihat majalah berkaitan reka bentuk dalaman dan rancangan menghias serta mengubah cipta sesuatu ruang seperti yang dikendalikan oleh Eric Leong di kaca televisyen.
“Menerusi penelitian daripada reka bentuk arkitek yang lain, timbul rasa minat saya untuk menceburi bidang yang mencabar ini terutama bagi mereka yang tidak mahir melukis,” katanya kepada Mega Rona.
Tambahnya, bidang yang diceburi ini memerlukan daya imiginasi yang tinggi serta kreativiti dalam membentuk hasil kerja yang menarik dan unik mengikut cita rasa pelanggan.

“Bidang ini banyak melibatkan konseptual dan programming iaitu reka bentuk sesuatu ruang dengan mengambil kira material, warna dan kesesuaian bahan yang akan digunakan.
“Seorang arkitek yang bagus harus mempunyai perasaan timbang rasa yang tinggi dalam setiap reka bentuk dalaman seperti mengambil kira visual, tekstur, suasana, aksesibiliti dan peka terhadap bunyi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, gadis cantik dan kecil molek ini mengakui banyak cabaran yang bakal dihadapi apabila bergelar seorang arkitek terutama melibatkan permintaan pihak pelanggan yang akhirnya memakan masa yang lama untuk menyiapkan reka bentuk tersebut.
“Kadang-kala sesuatu design itu sudah siap mengikut waktu yang ditetapkan, namun, secara tiba-tiba pelanggan mahu mengubah mengikut kehendak mereka pada saat-saat akhir.
“Apabila berlaku perkara seperti itu, kami sebagai arkitek sudah semestinya akan bersengkang mata untuk menyiapkan reka bentuk dalaman yang baharu, mengikut permintaan meskipun tidak mendapat rehat yang cukup,” katanya.
Menceburi bidang peragaan
Wajah yang cantik memberikan bonus buat Dewi. Dia kini aktif melibatkan diri dalam bidang peragaan busana Muslimah sejak menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah lagi.
Menurutnya, rezeki dalam bidang itu tidak pernah putus kerana dia kerap menerima tawaran.
Bijak beraksi di hadapan kamera dengan pelbagai gaya menarik yang menampakkan gambarnya unik menjadi rahsia kejayaan Dewi dalam bidang peragaan.
Menurut figura cantik ini, dia melibatkan diri dalam bidang peragaan secara sambilan sejak melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.
“Saya mula melibatkan diri dalam bidang ini dengan menjadi model kepada butik atas talian. Menerusi penglibatan itu, saya mampu menjana pendapatan yang lumayan meskipun masih bergelar seorang pelajar.
“Namun, saya perlu bijak membahagikan masa sebagai seorang model dan mahasiswa agar tidak menjejaskan kuliah. Justeru, saya membuat jadual melalui buku rancangan saya sendiri,” katanya.
Tambahnya, dengan peluang yang ada dia turut meraih rezeki menerusi perniagaan tudung jenama sendiri yang diberikan nama ‘POTS’ yang dijual secara atas talian.
Menurutnya, ramai yang bertanyakan kepadanya mengenai pakaian dan tudung yang dipakainya.
“Mereka tanya di mana saya beli. Perkara itu mendorong saya untuk mengeluarkan tudung jenama sendiri. Saya seorang yang perfectionist. Oleh itu, setiap tudung yang dikeluarkan mempunyai kemasan dan rekaan yang unik bagi menepati cita rasa pelanggan,” katanya.
Mahu buka firma sendiri
Gadis cantik ini bukan sahaja bijak berkata-kata, malah mempunyai wawasan yang tinggi bagi mencapai cita-cita.
Bukan sekadar mahu menjadi seorang arkitek, Dewi juga mempunyai impian untuk membuka sebuah firma arkitek sendiri pada satu masa nanti.
Bagi merealisasikan cita-cita tersebut, dia perlu mengumpul pengalaman sebanyak mungkin dalam bidang yang diceburi sebagai persediaan masa depan.
“Buat masa ini, saya hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang peragaan dan arkitek sebelum membuka firma sendiri,” katanya.
Dewi turut bercita-cita membuka satu platform bagi membantu ibu tunggal dan wanita membuka perniagaan sendiri secara atas talian.
“Saya faham kesukaran yang dihadapi mereka. Disebabkan itu, saya ingin berkongsi ilmu dengan mereka,” katanya.











