PADANG RENGAS 14 Julai – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan bantahannya terhadap pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) semata-mata demi kebaikan parti.
Menurutnya, ini terbukti apabila beliau masih bersama UMNO dan terus setia kepada parti walaupun menerima tawaran untuk menyertai parti lain.
“Saya setia, sebab itu saya masih bersama UMNO. Bukan satu dua tawaran yang kami (bersama Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) terima, tapi sampai hari ini setia dengan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Kem PLKN Kota Lama, Sauk di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Bahagian UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Khairy turut meminta pemimpin UMNO tidak membuat keputusan yang tidak masuk akal dengan menjulang semula pemimpin yang telah tolak oleh rakyat.
Merujuk kepada pelantikan Najib, Khairy berkata, tindakan itu ibarat mengulangi kesilapan yang sama tetapi mengharapkan keputusan yang baik.
“Kita buat benda yang sama semula apabila ambil balik Najib. Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) mesti bertindak sebagai Presiden, jangan seperti pegawai kepada Najib,” katanya. – UTUSAN ONLINE











