Tujuh pengedar dadah ditahan, 18,500 pil kuda dirampas - Utusan Malaysia

Tujuh pengedar dadah ditahan, 18,500 pil kuda dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 14 Julai – Polis berjaya menangkap tujuh lelaki termasuk seorang remaja Thailand serta merampas dadah bernilai RM200,000 dalam tiga serbuan berasingan di Tanah Mera, Pasir Mas dan di sini kelmarin.

 Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, rampasan itu melibatkan 18,500 pil kuda; satu paket syabu seberat 55.3 gram dan 150 biji Erimin 5.

 Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 9.30 malam hasil daripada pemerhatian yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Tanah Merah yang mendapati sebuah kereta jenis Proton Putra disyaki dinaiki oleh empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan aktiviti dadah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ekoran daripada itu, pasukan tersebut telah menghalang kereta itu sehingga berlaku rempuhan di bahagian depan dan belakang bagi mengelakkan suspek melarikan diri.

“Suspek cuba melarikan diri dengan keluar dari kereta namun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan menjumpai beg galas yang mengandungi pil-pil merah dan hijau disyaki pil kuda berjumlah 12,000 biji dengan nilai pasaran RM120,000.

 “Siasatan awal mendapati keempat-empat lelaki ini yang terdiri daripada tiga lelaki Melayu berusia 25 hingga 28 tahun yang mempunyai rekod lampau kesalahan dadah serta remaja Thailand berusia 19 tahun disyaki baru sahaja mengambil bekalan dari seorang lelaki warganegara Thailand di Kampung Tasek, Rantau Panjang untuk diedar kepada pengedar kecil di Tanah Merah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kelantan di sini hari ini.

 Azmi berkata, dalam kes kedua pula, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pasir Mas pula telah menahan seorang lelaki Melayu berumur 33 tahun pada pukul 10.45 malam di Kampung Bechah Palas, Bunut Susu, Pasir Mas yang juga disyaki pengedar dadah.

 “Polis menahan suspek yang ketika itu menunggang motosikal Honda EX5 yang dalam keadaan mencurigakan, berlaku pergelutan apabila suspek cuba melarikan diri. Hasil pemeriksaan, membawa kepada penemuan bungkusan pil kuda sebanyak 1,300 biji bernilai RM13,000 dalam poket seluar jeans dan beg suspek,” katanya.

 Sementara itu, beliau berkata, dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Kampung Wakaf Stan di sini pada pukul 11.50 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

 “Polis terpaksa bergelut dengan kedua-dua suspek sebelum mereka berjaya ditahan. Dalam pemeriksaan di sebuah bilik polis menemui tiga buah kotak, satu tin biskut serta satu sampul duit kertas yang mengandungi dadah.

“Sebanyak 5,200 pil kuda, 55.3 gram syabu serta 150 biji pil Erimin 5 bernilai RM62,095 dirampas daripada kedua-dua suspek yang merupakan peniaga,” katanya.

 Beliau berkata, enam suspek direman selama tujuh hari manakala seorang suspek yang ditahan di Pasir Mas direman selama enam hari bermula Sabtu lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini