KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad membuat permohonan maaf secara terbuka gara-gara dikecam kerana mempersendakan busana tradisional ketika mengendalikan rancangan Muzikal Lawak Superstar (MLS) secara langsung pada Jumaat lalu.
Dalam rancangan tersebut, Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad, 36, telah mencampak tanjak yang dipakai tanpa menyedari tindakan berkenaan telah menghina busana tradisional Melayu.
Nabil menerusi akaun Instagramnya berkata, dia malu dengan keterlanjuran berkenaan dan memohon maaf kepada semua pihak.
“Saya mahu membuat permohonan maaf secara terbuka atas keterlanjuran saya di atas pentas MLS.
“Tidak menjadi niat say untuk memperlekehkan bangsa dan adat Melayu terutama tanjak yang saya pakai,” katanya.
Akibat tindakan Nabil, dia juga telah ditegur oleh ketua daripada Balai Adat Tok Cindai yang merupakan pengamal budaya bangsa.
Difahamkan tindakan Nabil membaling tanjak merupakan penghinaan paling tertinggi terhadap bangsa Melayu kerana tanjak adalah pemakaian tertinggi dalam adat Melayu tradisional.
“Saya juga memohon maaf kepada seluruh keluarga Balai Adat Tok Cindai dan semua yang terkesan dengan perbuatan saya.
“Saya secara peribadi amat malu dengan perbuatan saya,” katanya.
MLS merupakan rancangan realiti muzikal komedi terbaharu terbitan Astro Warna.
Nabil mengendalikan rancangan tersebut bersama pelakon Nabila Huda. – K! ONLINE











