LONDON – Eric Dier diketepikan daripada aksi pra-musim Tottenham di Singapura dan Shanghai selepas terpaksa melakukan pembedahan bagi kecederaan yang tidak didedahkan.
Bintang England itu beraksi bersama Three Lions ketika penentuan penalti menentang Switzerland dalam penentuan tempat ketiga Liga Negara-Negara, Jun lalu dan berharap dapat beraksi bersama Spurs menjelang permulaan musim baharu.
Spurs mengesahkan prosedur pemulihan keceeraan Dier berjalan dengan baik dan pemain berusia 25 tahun itu tidak akan bersama skuad Mauricio Pochettino ke Singapura dan Shanghai untuk menentang Juventus serta Manchester United.
Dier berdapan kecederaan pangkal paha sejak beberapa bulan lalu dan hanya beraksi dalam 18 daripada 38 penampilan Liga Perdana Inggeris, musim lalu.
“Eric Dier sudah menjalani prosedur perubatan yang ditetapkan selepas ia dikesan semasa hari pertama sesi latihan pra-musim.
“Ekoran itu, Eric akan berhat seketika untuk menjalani proses pemulihan. Oleh itu, dia tidak akan bersama pasukan untuk beraksi di Singapura dan Shanghai,” kata Spurs dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka.-AGENSI











