SEREMBAN – Kekalahan Negeri Sembilan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sendiri malam tadi menjejaskan peluang mereka untuk layak ke Liga Super tahun depan.
Berbaki satu lagi perlawanan, Sabtu depan menetang UiTM FC, skuad kendalian ketua jurulatih, Mohd. Zan Mat Aris berharap dapat mencipta kemenangan sekurang-kurangnya bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Perdana.
Ketika ini, skuad Rusa menduduki tangga kelima liga dengan 28 mata manakala PDRM melonjak ke tangga ketiga dengan 30 mata.
Mengulas perlawanan malam tadi, Mohd. Zan mengakui terkilan gagal mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, dan beberapa kesilapan yang dilakukan pemain yang memberi peluang kepada PDRM merampas kedudukan ketiga.
“Pemain melakukan kesilapan di saat akhir menyebabkan lawan mudah membolosi gol kita.
“Ini membuatkan saya agak terkilan kerana kita kehilangan tiga mata berharga untuk mara ke Liga Super,” katanya kepada selepas perlawanan Liga Perdana 2019 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, di sini.
Dalam perlawanan itu, Skuad Hobin Jang Hobin tunduk kepada PDRM dengan keputusan 2-3.
Walaupun kemenangan tidak menyebelahi tuan rumah, namun Mohd. Zan memuji permainan yang ditampilkan pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi.
“Apa pun, kita ada baki perlawanan terakhir menentang UiTM, saya harap kita akan cipta kemenangan dalam memperbaiki kedudukan kita,” katanya. – BERNAMA











