SINGAPURA – Sebuah Kementerian Penuaan baharu yang menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Tenaga Manusia dan Pendidikan mampu membantu pihak berkuasa tempatan menangani peningkatan cabaran-cabaran semasa termasuk kehilangan kelompok profesional berpengalaman, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET) akibat perkembangan teknologi berautomasi, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Kementerian baharu itu seharusnya mempunyai satu divisyen untuk mengurangkan kejadian diskriminasi umur dalam pekerjaan, khususnya kumpulan PMET yang mewakili lebih separuh tenaga kerja negara republik itu, menurut satu laporan disiarkan pada 11 Julai lalu oleh seorang felo penyelidik kanan, Faizal Yahya daripada Institut Kajian Dasar.
Sewaktu perbincangan mengenai cabaran gangguan ekonomi dan strategi Singapura untuk mengekalkan tenaga kerjanya, Faizal berkata, kementerian penuaan mungkin diperlukan untuk meliputi satu skop luas daripada soal kebimbangan hingga penjagaan kesihatan.
Situasi kekurangan tenaga kerja di Singapura berlaku disebabkan oleh kumpulan pekerja semakin berusia, kadar kesuburan rendah dan kawalan lebih ketat ke atas kemasukan pekerja asing kerana faktor sosial mahupun politik.
Tindakan kawalan ketat dalam pengambilan pekerja asing sejak tahun 2011 mengakibatkan peningkatan kebergantungan terhadap tenaga kerja tua tempatan, menurut laporan itu.
Faizal juga berpendapat, proses pendidikan tidak lagi bersifat mendatar tetapi satu proses pusingan berterusan yang mengikut kitaran industri. Oleh itu, hubungan antara industri dan institusi-institusi pengajian perlu diperkukuhkan. Kerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia dan Pendidikan akan menyokong peralihan trend modal insan.
Sekiranya Kementerian Penuaan mampu melakukan tugas mengawal selia permintaan dan penawaran tenaga kerja, koordinasi (pekerja) lebih baik dan campur tangan kerajaan tepat pada masanya akan membantu pembentukan dasar-dasar negara.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) meramalkan bahawa sebanyak 7.1 juta pekerjaan akan hilang di seluruh dunia bermula tahun 2015 hingga tahun hadapan disebabkan perubahan pasaran buruh seiring dengan kebangkitan ekonomi digital. Bagaimanapun, hanya dua juta peluang pekerjaan baharu dijangka wujud seperti sektor teknologi maklumat, menurut WEF.
Singapura mahu menjadi sebuah negara pintar untuk mengekalkan peranan dan kedudukan di rantau serta peringkat dunia. Bagaimanapun, Faizal menyatakan strategi pembangunan digital harus mengambil kira keperluan modal insan untuk diserapkan dan manfaat daripada gangguan semasa ekonomi. – Bernama









