BIAR pun ramai orang di sekeliling kita yang mungkin mempunyai niat tidak baik, namun itu bukanlah alasan untuk kita juga tidak berbuat baik kepada mereka.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” – Riwayat Ahmad
Jadilah manusia yang memberi manfaat. Usahlah menyakiti hati orang lain sama ada dengan lidah mahupun dengan jari-jemari.
Tahanlah mulut dan jari itu daripada menutur atau menukil kata-kata tercela. Pesan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia.” – Riwayat Bukhari
Satu pesanan daripada Rasulullah yang perlu kita untuk contohi dan ikuti. Berdoalah kepada Allah SWT agar kita sentiasa dilindungi daripada musibah di samping tetap terus menabur bakti.
Biarlah tidak dihargai manusia, namun kita terus berusaha memperbaiki diri. Redalah dengan setiap ujian yang hadir ketika menabur jasa.
Usah dikenang kebaikan yang dilakukan dalam membuat kebaikan. Seperti kata pepatah, ‘tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui’.
Kerana bagi setiap kebaikan, pasti kebaikan juga sebagai balasannya. Jika tidak di dunia, Insya-Allah pasti di akhirat. Justeru itu renunglah hadis ini:
“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya ia akan memadamkannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan sebaik-baik akhlak.” – Riwayat Tirmizi
Ustaz Huzaifah Hadis pernah ditanya. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan’? Beliau membalas, ia bermaksud apabila berbuat dosa, maka cepat-cepatlah istighfar dan bertaubat.
SUMBER https://tzkrh.com/kehadiran-dinanti-pemergian-ditangisi/











