Wanita UMNO Malaysia mendesak agar pihak berwajib segera menyiasat tanpa prejudis dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia yang melibatkan seorang ahli EXCO kerajaan negeri Perak.
Siasatan yang adil dan telus perlu dilakukan segera memandangkan pengesahan dakwaan tersebut telahpun dibuat oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, ACP Choo Lily.
Pada masa yang sama, Wanita UMNO mahu kerajaan memastikan tidak berlaku sebarang campur tangan politik terhadap siasatan yang akan dilakukan.
Mutakhir ini, sistem perundangan negara tidak dihormati terutama apabila berlakunya keputusan-keputusan yang melibatkan individu yang berkaitan dengan kerajaan. Malahan, keputusan mahkamah jelas tidak dihormati.
Namun, wanita UMNO masih percaya pihak berkuasa akan menjalankan tugas mereka dengan telus dan adil tanpa menyembunyikan sebarang fakta. – UTUSAN ONLINE
Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Wanita UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong.











