BUTTERWORTH 11 Julai – Seramai tiga individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana memiliki sebanyak 51.21 gram dadah dipercayai jenis syabu bernilai kira-kira RM7,600.
Ketiga-tiga mereka yang bekerja sebagai peniaga berusia antara 28 hingga 43 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Bagan Ajam, di sini oleh sepasukan polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, selain untuk kegunaan sendiri, dadah yang dirampas daripada suspek itu juga dipercayai untuk dijual di sekitar daerah ini.
Katanya, ujian air kencing ke atas semua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mereka direman selama seminggu sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)a akta sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noorzainy menegaskan pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan tegas serta menjalankan operasi narkotik berterusan secara agresif ke atas pengedar dadah di daerah tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pengedaran dan penagihan dadah atau kegiatan jenayah lain kepada pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE











