Terengganu sasar kekalkan kejuaraan Sukma 2020 - Utusan Malaysia

Terengganu sasar kekalkan kejuaraan Sukma 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Kontinjen Terengganu menyasarkan untuk mempertahankan kejuaraan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal diadakan di Johor pada 11 hingga 19 Julai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sasaran itu relevan memandangkan sebahagian besar atlet yang berjaya menyumbang pingat emas pada edisi tahun lalu masih boleh beraksi pada kejohanan akan datang.

Katanya, berbekalkan kepada potensi itu, maka kontinjen negeri bertekad memperkemaskan segala strategi dan meningkatkan latihan dalam tempoh setahun menjelang pertandingan bagi membolehkan pasukan berada selangkah di hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Diharap melalui himpunan pada malam ini akan menaikkan semangat para atlet di samping memberi dorongan dan rangsangan kepada pengurus pasukan serta jurulatih untuk memberikan hasil yang terbaik.

“Kita belum meletakkan secara spesifik sasaran jumlah pingat, namun yang pastinya kita mahu mengekalkan kejuaraan terutama mengutip emas dalam acara seperti basikal, kanu dan perahu layar sebagaimana kejayaan dalam edisi tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Himpunan Kontinjen Sukma Terengganu 2020 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibnu Amin Busu.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada pengurus-pengurus pasukan Sukma Terengganu 2020.

Terengganu merampas trofi kejuaraan Sukma 2018 di Perak dengan mengutip 56 pingat emas, 51 perak serta 53 gangsa, dan ia merupakan kali kelima negeri ini mengungguli temasya sukan berkenaan manakala naib juara (dua kali) pada 2013 dan 2014 diikuti tempat ketiga (2016).

Wan Sukairi memberitahu, jumlah atlet yang bakal terlibat dalam Sukma 2020 akan diputuskan menjelang awal tahun depan selepas sesi latihan fasa ketiga atlet tamat pada hujung tahun ini.

Katanya, ketika ini seramai 667 atlet mengikuti latihan fasa kedua untuk persediaan Sukma 2020.

Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri belum melantik chef de mission (CDM) dan timbalannya, namun gerak kerja kontinjen Terengganu telah berjalan bagi menggambarkan kesungguhan dan komitmen untuk terus mengekalkan kejuaraan.

“Angka rasmi jumlah kontinjen masih belum ada, bagaimanapun kita akan menyertai keseluruhan 30 kategori sukan yang dipertandingkan dalam Sukma,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini