Empat atlet negara berputih mata - Utusan Malaysia

Empat atlet negara berputih mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH teknikal dipercayai faktor empat atlet negara terpaksa berputih mata daripada bersaing pada hari ketiga acara olahraga Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2019 di Stadium San Paolo, Napoli, Itali semalam.

Empat atlet yang terkesan di­sebabkan masalah itu ialah dua pemegang rekod kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib dan Iskandar Alwi dalam acara 200 meter (m) serta lompat bergalah.

Baki dua lagi atlet berdepan nasib malang semalam ialah raja pecut Sukan Universiti ASEAN, Muhammad Aqil Yasmin, juga dalam acara 200m dan atlet lompat kijang wanita, R. Kirthana.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, nama keempat-empat atlet itu tiada dalam senarai pertandingan untuk hari ketiga olahraga semalam menyebabkan mereka tidak dibenarkan ­bertanding.

“Saya sudah turun memanaskan badan tetapi tiba-tiba tidak dibenarkan bertanding kerana nama tiada dalam senarai. Saya sendiri tidak faham apa yang berlaku.

“Disebabkan itu, saya benarkan atlet Thailand (Patsapong Amsamang) meminjam galah saya untuk bertanding kerana galah dia tidak sampai lagi dari Thailand. Saya beri atas semangat kesukanan untuk kem Asia Tenggara,” kata Iskandar.

Jika dibenarkan beraksi, mungkin Iskandar berpeluang ke pentas final esok kerana dia cuma perlu melepasi had ketinggian 5.25m pada pusingan kelayakan semalam memandangkan rekod kebangsaan miliknya ialah 5.31m.

Peluang Kirthana juga dilihat sama kerana jika mampu mengulangi catatan tahunan terbaik­nya iaitu 13.33m, dia boleh melayakkan diri ke final esok kerana jarak itu berada pada kedudukan kesembilan terbaik sewaktu pu­singan kelayakan.

Bagi acara 200m lelaki, atlet Korea Selatan, Ko Seunghwan muncul pelari terpantas pada pu­singan kelayakan semalam selepas mencatat 20.68s manakala masa 21.43s dilakukan Markus Fuchs dari Austria merupakan catatan terakhir untuk layak ke separuh akhir hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini