JEMPOL 10 Julai – Dua buah rumah dipecah masuk dalam kejadian berasingan di Felda Pasoh 2 di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian pertama berlaku pada pukul 3.15 pagi apabila seorang lelaki kehilangan telefon bimbit selepas dilarikan suspek yang masuk ke rumah kakaknya di Felda Pasoh 2.
“Mangsa berusia 60 tahun itu tidur di rumah kakaknya dan terjaga apabila menyedari seorang yang tidak dikenali mengambil telefon bimbit yang diletakkan berdekatannya. Mangsa cuba mengejar suspek tetapi gagal.
“Selepas diperiksa, penjenayah itu didapati masuk melalui pintu belakang rumah yang ditutup tidak rapat dan tidak berkunci,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhd Nur Hishamuddin berkata, mangsa hilang sebuah telefon bimbit jenama Oppo, sebuah beg sandang dan kad pengenalan milik anaknya, dua kad bank dan wang tunai RM43.
Beliau berkata, kejadian kedua berlaku pada pukul 5.50 pagi selepas seorang lelaki berusia 30 tahun dimaklumkan oleh ibunya bahawa telefon bimbitnya hilang.
“Hasil pemeriksaan mendapati tingkap cermin telah dipotong di bahagian tengah. Barang-barang yang hilang ialah tiga buah telefon bimbit jenama Oppo dan Vivo, kad pengenalan, dua kad bank dan wang tunai kira-kira RM1,000.
Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE











