KANGAR 10 Julai – Muhamad Fariz Mikhail Mohd. Faizal, 9, dan sepupunya, Muhamad Ziyyad Aisy Muhamad Zaki, 8, berkawan baik sejak kecil.
Setiap petang dua kanak-kanak dari Kampung Jelempok, Arau itu selalunya akan bermain bersama-sama di kawasan hadapan rumah mereka.
Hari ini, takdir juga menentukan mereka pergi bersama buat selama-lamanya apabila kedua-dua kanak-kanak tersebut ditemukan mati lemas di Sungai Pulau, Kampung Jelempok dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang ini.
Lebih menyentuh perasaan, Muhamad Ziyyad dikatakan cuba menyelamatkan Muhamad Fariz yang terlebih dahulu tergelincir di sungai tersebut sebelum mereka lemas bersama.
Mayat Muhamad Fariz ditemukan di dasar sungai tersebut kira-kira pukul 6.30 petang manakala Muhamad Ziyyad pula ditemukan selang 10 minit kemudian oleh penduduk kampung.

Bapa saudara mangsa, Muhamad Aiman Akmal Khairi Mokhzani, 17, memberitahu, anak saudaranya itu mengikut seorang lagi bapa saudara mereka ke sungai itu untuk memancing.
Katanya, difahamkan ketika kejadian, bapa saudara mereka tidak menyedari kedua-dua kanak-kanak tersebut telah tergelincir.
Ujarnya, namun setelah menyedari kehilangan dua kanak-kanak itu, barulah dia mengesyaki mereka terjatuh ke dalam sungai lalu bergegas memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung.
“Dua anak saudara saya itu merupakan kawan baik sejak kecil. Selalunya mereka hanya bermain di depan rumah, cuma hari ini mereka pergi ke sungai tersebut bersama bapa saudara.
“Difahamkan Muhamad Fariz tergelincir terlebih dahulu sebelum Muhamad Ziyyad dikatakan terjun untuk menyelamatkannya. Takdir menentukan mereka pergi bersama,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.
Seorang lagi mak saudara mangsa, Nur Azliza Ali, 38, berkata, semalam Muhamad Fariz ada bergurau dengan anaknya dengan bertanya sama ada akan sedih sekiranya dia pergi dahulu.
“Tidak sangka gurauannya itu menjadi nyata. Anak saudara saya itu cukup rapat dengan saya dan pemergiannya cukup dirasai,” katanya.
Dua kanak-kanak tersebut dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jelempok esok pagi. -UTUSAN ONLINE











