PUTRAJAYA – Majlis Eksekutif Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) yang baharu dibentuk bagi penggal 2019-2021, hari ini, menggesa Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) serta Menteri Belia dan Sukan mengiktiraf mereka secara rasmi yang mewakili majoriti 12 ahli gabungan.
Jawatankuasa yang dipilih itu diketuai presidennya, Datuk Clement Soo, dua Timbalan Presiden, Datuk Lim Chee Jin dan Senior Asisten Komisioner Sulaiman Salleh serta tiga lagi Naib Presiden iaitu K. Anathan, M. Subramaniam dan Datuk Dr. Yusoff Nook.
Pemilihan berkenaan dijalankan menerusi mesyuarat agung dwitahunan (BGM) di Menara Sri Wilayah, di sini yang dihadiri 60 perwakilan daripada 12 ahli gabungan Makaf, biarpun jemputan turut dihantar kepada 10 lagi ahli gabungan yang masih menyebelahi jawatankuasa induk terdahulu.
Berita berkaitan:
BGM diadakan ekoran undi tidak percaya kepada Majlis Eksekutif (Exco) Makaf yang diketuai Presidennya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam pada mesyuarat agung luar biasa 9 Jun lalu selepas kegagalan mereka menjalankan mesyuarat agung tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun dan bertentangan dengan Artikel 9 (i) Perlembagaan Makaf.
Writ saman mahkamah yang dikemukakan Exco lama Makaf terhadap jawatankuasa 12 ahli gabungan baharu ini turut dianggap sebagai terlalu awal dan tidak menjejaskan keputusan pemilihan kerana sepatutnya diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu.
“Inilah barisan baharu yang lebih berpengalaman dan berkelayakan dalam hal-hal teknikal karate. Kami ada korum yang mencukupi dengan 12 ahli gabungan dan dianggap majoriti berdasarkan Perlembagaan Makaf.
“Ahli-ahli gabungan kami jugalah yang banyak melahirkan juara dan mahu memajukan sukan karate negara. Di sini ada 145 pengadil yang berkelayakan berbanding 45 milik Exco lama (bersama 10 lagi ahli gabungan),” kata Clement selepas BGM itu.
Sekiranya Pesuruhjaya Sukan yang baharu, Dr. Wirdati Mohd Radzi masih tidak boleh menyelesaikan isu pengiktirafan jawatankuasa induk baharu Makaf tersebut katanya, mereka terpaksa merujuk hal tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Sedih apabila dengar Exco lama Makaf hanya letakkan sasaran empat pingat emas Sukan SEA (di Filipina, November ini). Kita sepatutnya jadi juara keseluruhan atau naib juara karate (di rantau Asia Tenggara).
“Dalam Sukan Asia (di Indonesia, tahun lalu), kita cuma dapat satu gangsa sedangkan kami dulu pernah lahirkan pasukan negara yang muncul antara empat teratas Asia,” katanya.
Setiausaha Agung baharu Makaf, Thiagu Ponniyah berkata, antara 10 ahli gabungan persekutuan yang tidak hadir, hari ini ialah Sabah, Labuan dan Selangor yang dipercayai masih berpihak kepada Exco terdahulu.
“Kami kini akan mengemukakan laporan BGM untuk dapatkan pengiktirafan Pesuruhjaya Sukan dan pihaknya perlu mengambil tindakan yang sepatutnya, malah tiada sebab untuk tidak boleh menerimanya kerana proses pemilihan kami berdasarkan Perlembagaan Makaf.
“Kami tiada masalah dan sanggup berdepan apa sahaja saman Exco lama, walaupun tindakan mereka terlalu awal diambil dalam masa yang begitu singkat. Sepatutnya ia diselesaikan secara dalaman dan serahkan keputusan muktamad kepada Pesuruhjaya Sukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











