Persatuan negeri sambut baik syarat FAM - Utusan Malaysia

Persatuan negeri sambut baik syarat FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Rata-rata persatuan bola sepak negeri bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mahu ahli gabungannya melantik pengarah teknikal atau tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

FARHAN IBRAHIM

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim antara yang menyokong dengan syarat tersebut berkata, jawatan pengarah teknikal penting untuk sesebuah pasukan bagi merancang aktiviti tahunan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, MUSA telahpun mewujudkan jawatan tersebut sejak tujuh tahun lalu dan aktiviti kerap diadakan bersama pelajar sekolah menengah serta rendah bagi merancakkan program pembangunan akar umbi.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan sekolah-sekolah di Melaka untuk menganjurkan program pembangunan akar umbi, klinik bola sepak, kursus kejurulatihan malah kursus pengadil.

“Apa yang disarankan oleh FAM perlu diambil berat oleh setiap persatuan bola sepak negeri sebab hala tuju FAM itu sendiri menitikberatkan tentang pembangunan pemain terutamanya di peringkat bawahan.

“Sehingga ke hari ini kami sudah mengadakan lima hingga enam kali program bersama sekolah rendah dan menengah, malah kami juga mengadakan kursus kejurulatihan bersama cikgu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Utusan Malaysia, semalam, melaporkan FAM bakal mewajibkan setiap persatuan bola sepak negeri untuk mempunyai jawatan pengarah teknikal bagi mendapatkan lesen beraksi dalam Liga M pada masa akan datang.

Turut senada dengan syarat tersebut adalah Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais apabila memberitahu, pengarah teknikal perlu ada bagi mengetahui indeks prestasi utama (KPI) bagi setiap jurulatih.

“Setiap pasukan profesional perlu ada pengarah teknikal. Jika tidak, tiada individu yang akan menilai prestasi semasa jurulatih bukan hanya melibatkan skuad senior negeri, tetapi pasukan bawah 21 dan bawah 19,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abdul Aziz Yeop Jamaludin turut bersetuju, namun berkata, peranan pengarah teknikal dapat berfungsi sepenuhnya jika persatuan bola negeri atau kelab tidak mengabaikan pembangunan akar umbi ketika mengejar kejayaan dalam Liga M. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini