LONDON 10 Julai – Rusia memberi lampu hijau bagi pembinaan lebuh raya sejauh 2,011 kilometer melalui negara itu yang akan menghubungkan China dengan Eropah di bawah rancangan Presiden Xi Jinping untuk menguasai perdagangan global.
Lapor Mail Online, Lebuhraya Meridian yang dibiayai oleh pihak swasta akan menghubungkan laluan dari sempadan Rusia – Belarus ke sempadan Kazakhstan serta membentuk rangkaian jalan lebih luas dari Hamburg, Jerman ke Shanghai, China.
Langkah itu sebahagian daripada insiatif Belt and Road yang diilhamkan oleh Jinping, menyaksikan kuasa besar dari timur jauh membuat pelaburan besar dalam sektor rangkaian jalan raya antarabangsa.
Setelah siap, lebuh raya itu akan menjadi laluan terpendek bagi membawa barang perdagangan antara Eropah dan China.
Pembinaan lebuh raya itu sudah bermula di sempadan Rusia dan dijangka mengambil masa kira-kira 12 hingga 14 tahun untuk siap selain menelan kos kira-kira 7.5 bilion euro (RM34.81 bilion).
Di hujung barat Rusia, lebuh raya empat laluan itu akan melalui Belarus berhampiran Smolensk, antara Moscow and Minsk.
Selain itu di hujung timur Rusia pula, laluan terbabit akan melalui Sagarchin di sempadan Kazakhstan.
Lebuh raya itu merupakan idea bekas Timbalan Pengerusi syarikat Gazprom, Alexander Ryazanov yang memiliki kira-kira 80 peratus tanah lokasi lebuh raya tersebut. – AGENSI.











