GENEVA 10 Julai – Lebih 20 negara sebulat suara menggesa China menghentikan penahanan beramai-ramai etnik Uighur di wilayah Xinjiang.
Gesaan itu dibuat 22 negara menerusi surat rasmi yang ditujukan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Langkah bersama yang pertama kali dibuat itu susulan tekanan para aktivis setelah hampir satu juta etnik Uighur dan penduduk Muslim lain ditahan di pusat tahanan tersebut.
Antara negara membuat tuntutan itu ialah Australia, Kanada, Jepun, Britain, Perancis, Jerman dan Switzerland.
Amerika Syarikat (AS) yang mengundur diri daripada menyertai forum berkenaan dilihat tidak mengikuti jejak negara-negara tersebut yang menentang kekejaman itu.
Surat tersebut mengandungi kebimbangan dunia terhadap penahanan tidak sah termasuk pengawasan meluas dan sekatan yang dilaksanakan Beijing terhadap etnik Uighur dan kumpulan minoriti lain di Xinjiang.
Gesaan itu menuntut China, yang merupakan ahli ke-47 forum berkenaan, mengekalkan standardnya yang paling tinggi.
“Kami menggesa China mendukung undang-undangnya, melaksanakan tanggungjawab antarabangsa dengan menghormati hak asasi manusia, kebebasan beragama dan kepercayaan di Xinjiang dan seluruh China.
“Kami juga mendesak China menghentikan penahanan serta sekatan terhadap kebebasan Uighur dan penganut Muslim serta komuniti minoriti lain di Xinjiang,” desak negara-negara terlibat menerusi surat tersebut. – AGENSI











