Bekas Olahragawan, Olahragawati dapat jongkong emas - Utusan Malaysia

Bekas Olahragawan, Olahragawati dapat jongkong emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tiga bekas Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan mendapat penghormatan apabila dipilih sebagai jagoan sukan silam pertama yang wajah mereka diukir pada jongkong emas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam majlis pelancarannya 18 Julai ini.

Mereka ialah Datuk Malek Noor (bina badan), Datuk M. Rajamani (olahraga) dan Datuk Ng Joo Ngan (berbasikal) dengan pencapaian ringkas masing-masing pula dipaparkan di belakang jongkong sebesar kad bayar tol dan seberat 0.5 gram itu.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, “sebagai permulaan, kami akan mengeluarkan hanya 100 hingga 200 keping untuk dijual kepada umum bagi mengisi dana Yakeb.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Majlis pelancarannya akan dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya yang juga bekas pelari jarak pertengahan olahraga negara pada era 90-an.

Tiga bekas atlet negara yang akan menyusul jelasnya ialah ratu trek olahraga, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, Raja Kayuh 80-an, Rosman Alwi (berbasikal) dan bintang hoki silam, Datuk Mirnawan Nawawi.

Jongkong emas bekas atlet negara ini dikeluarkan bagi mengumpul dana selain mengurangkan pergantungan Yakeb kepada bantuan kewangan kerajaan semata-mata yang memerlukan RM1.57 juta setiap tahun bagi membantu ahli-ahlinya.

Kebanyakan dana itu bertujua membiayai kos perubatan mereka yang semakin tinggi manakala jasa dan pengorbanan bekas-bekas atlet negara akan sentiasa segar dan dihargai masyarakat menerusi jongkong emas itu.

Yakeb turut meneroka program kerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZWP) yang melantiknya sebagai ejen kutipan zakat dalam kalangan atlet dan bekas atlet negara sebagai satu lagi saluran membantu golongan itu.

“Sebagai ejen, kami akan dapat antara 20 hingga 37 peratus daripada jumlah kutipan itu untuk disalurkan kepada asnaf bekas-bekas atlet yang layak,” kata Noorul, bekas Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dari 2014 hingga 2017.

Beliau menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM2,000 daripada PPZ WP bagi Kempen Tabung Yakeb Bagi Bekas Atlet di Akademi Bola Sepak Kuala Lumpur, Taman Melawati, Hulu Klang, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, program CSR itu merupakan mukadimah dalam membina hubungan dengan Yakeb bagi menggalakkan umat Islam menunaikan rukun Islam keempat itu.

Perlawanan persahabatan turut diadakan dengan PPZWP menewaskan Pilihan Yakeb 5-4 yang antaranya dibarisi legenda bola sepak seperti Khalid Ali, Malek Rahman, Hardi Jaafar, Subadron Aziz, Datuk Ramlan Askolani, Shahrin Majid, Karim Pin dan Yap Kam Choon serta A. Jayakanthan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini