KUALA LUMPUR 10 Julai – Pewujudan proses kerja kes cerai secara kaunter khas atau fast track yang diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) bukan semata-mata untuk menyelesaikan kes cerai sewenang-wenangnya.
Sebaliknya jelas Jakess, sebelum suami isteri datang ke mahkamah untuk memfailkan kes cerai, pasangan pada kebiasaannya akan berjumpa dengan Pegawai Runding Cara Keluarga di Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik rumah tangga yang dihadapi mereka.
Pemfailan kes di Mahkamah Syariah hanya dibuat setelah usaha melalui runding cara itu gagal menyelamatkan perkahwinan pasangan, jelas jabatan itu.
“Pewujudan proses kerja kes cerai secara fast track yang diperkenalkan oleh Jakess pada tahun 2015 bukan proses yang diwujudkan semata-mata untuk menyelesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya tanpa perlu melalui langkah-langkah yang sewajarnya bagi membendung kes penceraian di negeri Selangor.
“Pewujudan proses kerja kes cerai ini adalah bagi menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan Mahkamah Syariah Selangor yang mendakwa bahawa mahkamah mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan kes-kes cerai di Selangor,” menurut jabatan itu dalam kenyataan rasminya hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab isu kaunter khas penceraian di Mahkamah Syariah Selangor yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
Tambah Jakess, pewujudan proses kerja itu adalah satu prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan jabatan bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengendalian kes-kes cerai yang difailkan atas persetujuan bersama suami dan isteri yang sebelum ini mengambil masa sehingga 90 hari untuk diselesaikan.
Menurut jabatan itu, proses kerja itu perlu memenuhi syarat-syarat seperti dokumen telah lengkap; suami isteri hadir di mahkamah, wujud persetujuan antara suami isteri untuk bercerai secara baik dan harmoni; isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut dan mahkamah berpuas hati bahawa telah berlaku pecah-belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.
“Melalui proses kerja ini, kes pasangan suami isteri yang telah bersetuju untuk bercerai akan diselesaikan dalam tempoh enam jam daripada masa pemfailan kes dan mereka akan
menerima Perintah bertulis bermeterai mahkamah dalam tempoh masa tersebut untuk dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Selangor bagi tujuan pengeluaran Sijil Cerai,” jelas Jakess.
Tambah jabatan itu, kesan inisiatif itu dilihat telah menggalakkan para suami bagi sesuatu perkahwinan yang telah pecah belah untuk menceraikan isteri mereka secara baik dan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah wanita yang mendakwa diri mereka digantung tak bertali.
“Proses kerja ini sebenarnya telah menjimatkan masa dan kos pihak yang terlibat dan memberi peluang kepada mereka untuk memulakan hidup baharu secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain, sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah,” jelas Jakess.
Sehubungan dengan itu, Jakess berpandangan kewujudan proses kerja kes cerai secara fast track itu bukanlah proses yang menggalakkan masyarakat Islam di Selangor untuk bercerai sehingga menyumbang kepada kadar kes penceraian yang tinggi di Selangor.
“Sebaliknya, kadar penceraian yang tinggi tercatat di Negeri Selangor adalah disebabkan oleh jumlah penduduk yang ramai di Selangor berbanding dengan negeri-negeri lain di seluruh Malaysia,” tambah Jakess. -UTUSAN ONLINE











