DUNGUN – Jabatan Perikanan negeri sedang giat melakukan usaha mengembalikan kemasyhuran Terengganu sebagai destinasi pendaratan penyu termasuk perancangan membawa masuk spesies telur penyu belimbing dari Papua New Guinea.
Jabatan itu merancang membeli telur-telur penyu itu untuk diramkan di sini memandangkan jajaran pantai di Papua New Guinea menjadi tumpuan penyu spesies itu mendarat.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zawawi Ali menarik perhatian, pada masa sama, pihaknya juga akan mendapatkan pandangan daripada para saintis berhubung perkara itu dalam satu seminar khas yang akan diadakan Oktober depan.
“Kita akan ambil kira cadangan serta pandangan daripada para saintis pada seminar itu nanti, kita akan teliti dan bincangkan cadangan mereka sebelum kita laksanakan.
“Malah kita amat perlukan maklum balas saintis kerana telur penyu sangat sensitif, ia tidak akan menetas jika telur bergegar atau bergoncang dan tidak diuruskan dengan cermat,” jelasnya.
Zawawi menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas program Pelepasan Anak Penyu Bersama Orang Ramai di pantai belakang resort, The Qamar Paka dekat sini petang semalam.
Yang hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Lizan Che Mat dan Pengurus Resort The Qamar Paka, Abdul Manan Abdul Manaf.
Dalam program itu, kira-kira 3,000 pengunjung tidak melepaskan peluang mengunjungi pantai berkenaan bagi menyaksikan pelepasan 1,684 ekor anak penyu agar.
Zawawi seterusnya berkata, mengikut rekod jabatannya, pendaratan terakhir spesies penyu belimbing ke pantai Terengganu adalah pada 2017.
Beliau bagaimanapun teruja dengan penglibatan pengusaha hotel dan resort yang menjayakan program pelepasan anak penyu kali ini dengan sehingga kini terdapat 10 buah hotel serta resort di Terengganu menjalin kerjasama dengan Jabatan Perikanan negeri. -UTUSAN ONLINE











