KUALA LUMPUR 10 Julai – MTD ACPI Engineering Bhd. merancang mengembangkan perniagaan pembinaan dan hartanahnya dengan mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Orangebeam Construction Sdn. Bhd. dan Orangebeam Development Sdn. Bhd. daripada kumpulan Putrajaya Perdana.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MTD ACPI berkata, ia telah menandatangani perjanjian dasar induk (HoA) dengan Putrajaya Perdana dan unitnya Putra Perdana Development Sdn. Bhd. bagi memudahkan rundingan untuk mengambil alih kedua-dua syarikat pada harga yang akan ditentukan kemudian.
Orangebeam Construction, yang terlibat dalam aktiviti pembinaan, mempunyai modal saham terbitan RM45.25 juta yang terdiri daripada 40 juta saham biasa.
Sementara itu, Orangebeam Development, yang menjalankan pembangunan dan pembinaan hartanah, mempunyai modal saham terbitan sebanyak RM5 juta terdiri daripada 5 juta saham biasa.
MTD ACPI berkata, pihak-pihak akan melaksanakan perjanjian jual-beli saham untuk pengambilalihan itu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh HoA atau tempoh lain yang mungkin dipersetujui bersama. – BERNAMA











