KULAI 10 Julai – Seorang pemandu maut selepas lori tiga tan yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 48.0 Lebuhraya Utara-Selatan, arah Tol Sedenak menghala ke utara, di sini pukul 12.50 tengah hari tadi.
Mangsa, V. Maniam yang berusia 62 tahun tersepit di tempat duduk pemandu sebelum 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Renggam dan BBP Kulai dikejarkan ke tempat kejadian dengan tiga jentera.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Abd. Rahim Razali, sejurus tiba pemandu berkenaan tersepit dan dikeluarkan oleh pihak bomba.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Ambulans Hospital Kulai. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis. Operasi tamat pada pukul 1.43 petang,” katanya ketika dihubungi. -UTUSAN ONLINE











